fbpx

Alam Flora edar 100 tong MGB alih di Taman Sri Rampai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi pada Program Pengedaran Tong MGB 120L Parlimen Setiawangsa di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), anak syarikat kepada Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mengedarkan 100 unit tong sisa mudah alih (MGB) bersaiz 120 liter kepada penduduk Taman Sri Rampai di sini hari ini.

Tong-tong MGB baharu itu bagi menggantikan tong lama yang telah digunakan lebih 10 tahun, manakala program pengedaran kepada penduduk turut dihadiri oleh oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.

Nik Nazmi berkata, sebanyak 1,785 unit rumah di Taman Sri Rampai di sini dengan keseluruhan 69 jalan, jadi pengedaran tong MGB mengambil masa kira-kira enam minggu.

“Tong ini jangka hayatnya lebih lama berbanding tong sebelum ini, malah kita turut menggalakkan penduduk untuk mengasingkan sisa kitar semula sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

“Dengan pengasingan sisa-sisa ini, dapat memanjangkan jangka hayat tempat pelupusan sampah. Justeru, bukan sahaja peranan pihak Alam Flora, SWCorp dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malah kerjasama diperlukan daripada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Pengedaran Tong MGB 120L Parlimen Setiawangsa di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Badrulhisyam Fauzi dan Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Abd. Karim Salim.

Nik Nazmi berkata, secara keseluruhan pengedaran tong MGB kepada semua unit rumah di dalam kawasan Parlimen Setiawangsa dijangka selesai sepenuhnya pada Disember 2025.

Sementara itu, Badrulhisyam berkata, program penukaran tong sisa mudah alih ini merupakan sebahagian usaha berterusan Alam Flora dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa yang berkesan.

“Tong-tong ini direka khas untuk memperbaiki pengurusan sisa di taman-taman perumahan, dengan tujuan menjadikan kawasan setempat lebih bersih dan selesa untuk didiami.

“Program ini selari dengan visi kerajaan untuk memperbaiki pengurusan sisa pepejal di samping menggesa penduduk untuk terlibat secara aktif menjaga kebersihan persekitaran dan memanfaatkan sebaiknya tong sisa mudah alih yang telah diedarkan,” katanya.

Program edaran tong sisa MGB telah bermula sejak April lalu di kawasan perkhidmatan Alam Flora melibatkan Kuala Lumpur, Pahang dan Putrajaya. Ia akan diteruskan sehingga Disember 2025 dengan sasaran keseluruhan sebanyak 274,000 unit.

Bagi kawasan komersial dan rumah sampah, sebanyak 21,464 unit tong bersaiz 660 liter dan 19,760 unit bagi tong bersaiz 240 liter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI