KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu adiknya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 76 Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam lewat petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian melibatkan Loo Wen Hao, 22, yang menaiki kereta Nissan Almera dipandu adiknya, Loo Wen Hui dan sebuah treler dipandu lelaki berusia 32 tahun.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua beradik itu datang dari arah Simpang Renggam ke Machap manakala treler dari arah bertentangan.
“Sebaik sampai di lokasi kemalangan, kereta Nissan Almera dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler yang membawa simen kering itu.
“Akibat pertembungan itu, Wen Hao yang duduk di tempat penumpang hadapan maut selepas mengalami kecederaan parah di muka dan badan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, manakala adiknya yang memandu kereta mengalami kecederaan parah di muka serta patah kaki kiri manakala pemandu treler tidak cedera.
Ujarnya, kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan rawatan. – KOSMO! ONLINE