GUA MUSANG – Strategi Barisan Nasional (BN) memperkenalkan calon lebih awal untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri memberi kelebihan kepada parti itu untuk menang pada pilihan raya kali ini.
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, selain itu, tiada manifesto khusus yang ditetapkan oleh BN kerana percaya pihaknya memilih calon yang tepat untuk bertanding.
“Banyak faktor kemenangan salah satunya kita memilih calon yang tepat. Strategi mengumumkan calon lebih awal memberi ruangan dan kelebihan kepada kami untuk bekerja.
“BN tiada manifesto khusus dalam PRK kali ini. Manifesto Awie (Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani) hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sekiranya diberi sokongan,” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman kemenangan Mohd. Azmawi pada PRK DUN Nenggiri di Dewan Kompleks Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmar Jaslan memberitahu, kemenangan Mohd. Azmawi pada PRK Nenggiri menyangkal dakwaan BN hilang sokongan dari Orang Melayu.
Menurutnya, dakwaan itu tidak tepat apabila UMNO kembali merampas semula kerusi yang mojoritinya Orang Melayu dan masyarakat Orang Asli. – KOSMO! ONLINE