PETALING JAYA – Orang ramai mengakui sebak apabila melihat kehadiran 41 pesakit serta 86 waris warga Palestin yang cedera ke negara ini untuk dibantu pasukan perubatan Malaysia.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, ramai meluahkan rasa syukur serta berterima kasih kepada barisan pemimpin negara terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berani membawa pulang rakyat Palestin meskipun dalam keadaan genting.
“Kita lupakan hal politik, kita patut bangga dengan PMX (Anwar) dan barisan pemimpin negara lain kerana berani bantu saudara Islam kita (rakyat Palestin). Ya Allah, terima kasih kau permudahkan segalanya untuk usaha murni ini,” kata Mohdz Nasr.
“Alhamdulillah, sebak lihat rakyat Palestin tiba di Malaysia. Walaupun hanya lihat gambar yang dikongsikan media, air mata terus mengalir tanpa henti. Terima kasih Malaysia kerana berani bantu mereka. Moga kita terus diberi jalan oleh Allah untuk bantu ramai lagi rakyat Palestin yang ditindas,” luah Syaifff.
“Sebak sangat. Harus dipuji usaha kerajaan sebegini. Kami rakyat Malaysia berlapang dada terima kehadiran saudara kami dari Palestin untuk diberi tempat berlindung serta bantuan sebanyak mana yang mereka perlukan,” kata Aieen.
Terdahulu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang, semalam menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pesakit terbabit mengalami kecederaan, termasuk melecur dan patah kaki, selain ada yang hilang anggota tubuh badan.
Tambahnya, kesemua 41 pesakit terbabit kemudian didiagnosis tahap kesihatan di Hospital Medan TUDM sebelum dibawa ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di Wangsa Maju untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE