BINTULU – Separuh akhir bukan lagi soal beradu kekuatan fizikal!
Itu reaksi jaguh muay thai Selangor, Sharil Aiman Abu Hanipah selepas dijadualkan menentang wakil tuan rumah, Texas Jeremy Lo di peringkat separuh akhir kategori 54-57 kilogram (kg) Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang dijadualkan berlangsung di Paragon Mall, esok.
Bagaimanapun Sharil Aiman sedar misinya memburu emas kali ini makin sukar namun tidak pernah mematikan impiannya bergelar juara.
“Saya lakukan persiapan kira-kira tiga bulan sebelum Sukma. Apabila berjaya mara lebih jauh, saya percaya saingan juga makin sukar. Tetapi saya kena siapkan diri untuk tampil lebih baik bagi merealisasikan impian saya.
“Semua orang apabila lawan tuan rumah, cabarannya pasti lebih sukar kerana dia (Texas) akan dapat sokongan padu daripada penyokong.
“Jadi bagi saya, ia bukan lagi soal fizikal tetapi ia berkisar kepada permainan minda. Saya kena kuatkan mental saya untuk hadapi apa juga cabaran,” katanya.
Sharil Aiman menjelaskan dia tidak pernah bertemu Texas tetapi mengakui wakil Sarawak itu seorang yang agresif.
Sharil Aiman layak selepas menundukkan petarung Pahang, Muhammad Adib Hazieqe Zalihan 22-4. – KOSMO! ONLINE