PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sebagai langkah pencegahan sekiranya sering merasakan diri tidak berguna.
PHM dalam perkongsian di Facebook memaklumkan, ramai yang gemar menyembunyikan masalah serta perasaan mereka sehingga membahayakan diri sendiri.
Katanya, antara petanda awal seseorang individu itu ingin ‘menamatkan’ riwayatnya adalah sering bercakap tentang keinginan untuk mati selain mengutarakan perasaan tidak berguna atau bersalah.
“Tanda lain yang boleh diperhatikan oleh orang sekeliling adalah individu tersebut sering mengasing diri daripada keluarga, rakan-rakan dan tidak terlibat dengan aktiviti sosial.
“Merasa terperangkap atau tiada jalan keluar dari situasi yang dihadapi san sering merasa diri sebagai beban sehingga mudah berputus asas dan tidak berdaya untuk menyelesaikan sesuatu masalah,” kata PHM.
Dalam masa sama, PHM turut meminta orang ramai memerhatikan ahli keluarga atau rakan-rakan di sekeliling sekiranya mereka menunjukkan tanda-tanda tersebut, segeralah bawa berjumpa dengan pakar untuk dapatkan bantuan.
“Kadang-kadang, di sebalik senyuman yang manis, tersembunyi perasaan yang tak tertanggung.
“Bunuh diri bukan tentang mencari perhatian, tetapi tentang mencari kelegaan dari rasa putus asa yang tak dapat dijelaskan.
“Jangan tunggu esok untuk bertanya “Apa khabar?”. Luangkan masa untuk mendengar walaupun mereka kelihatan kuat dan tunjukkan bahawa anda peduli kepada mereka,” kata PHM.
Untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan sokongan sosial, boleh hubungi di Talian HEAL 15555. – KOSMO! ONLINE