fbpx

PRK DUN Nenggiri: Pesakit buah pinggang diusung atas katil pergi mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aziz dibawa menaiki katil selepas turun daripada ambulans untuk mengundi di SK Jeram Tekoh, Gua Musang, hari ini.

GUA MUSANG – Seorang warga emas yang menghidap sakit buah pinggang kronik tahap lima tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi meskipun terpaksa dibawa menggunakan katil bergerak ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, di sini hari ini.

Aziz Mat Isa, 63, tiba di pusat mengundi itu pada pukul 9 pagi dengan menaiki sebuah ambulans milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kota Raja Care.

Anak kepada Aziz yang enggan dikenali berkata, walaupun terlantar, bapanya tetap semangat untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Menurutnya yang berusia 29 tahun, bapanya sudah lama menghidap sakit buah pinggang sebelum terlantar sejak lapan bulan lalu.

“Bapa saya sebenarnya tidak mahu melepaskan tanggungjawab sebagai pengundi setiap kali pilihan raya.

“Ini merupakan kali pertama bapa mengundi dalam keadaan terlantar kerana tidak mampu untuk bangun dan berjalan,” katanta ketika ditemui pemberita di SK Jeram Tekoh, di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pengurus Ambulans Kota Raja Care, Mohd. Hambali Azraee, berkata, sebagai NGO, sudah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu memudahkan urusan pesakit kronik keluar mengundi.

“Aziz merupakan pesakit pertama yang kami bantu dan ada lagi empat pesakit kronik yang akan dibantu sukarelawan Kota Raja Care untuk ke pusat mengundi secara percuma,” katanya.

Sementara itu, sumber Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, peratusan pengundi keluar mengundi pada PRK DUN Nenggiri setakat pukul 10 pagi tadi sebanyak 25.66 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI