GUA MUSANG – Lebih 200 pengundi di Kampung Batu 10 dan Batu 11, Kampung Serian, di sini terkandas apabila laluan masuk dan keluar kampung dilimpahi air sungai lebih lima jam.
Kejadian disedari berlaku oleh penduduk kira-kira pukul 6 pagi selepas hujan lebat melanda kebanyakan kawasan di Gua Musang, sejak malam tadi.
Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Serian, Muhamad Rofi Ismail, 57, berkata, laluan terputus di kedua-dua arah disebabkan berlaku limpahan anak Sungai Takir dan Sungai Tadok.
Katanya, penduduk cemas apabila menyedari laluan dinaiki air ketika mereka bersiap sedia untuk ke pusat mengundi pagi ini.
“Kami terpaksa guna dua buah bot ihsan penduduk kampung untuk bawa pengundi keluar mengundi. Ada juga penduduk yang guna laluan landasan kereta api untuk keluar ke pusat pengundian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhamad Rofi berkata, setakat pukul 11.30 pagi ini keadaan terkawal apabila laluan yang dilimpahi air semakin surut dan trak pikap juga sudah boleh melalui kawasan tersebut.
Seorang lagi penduduk, Hazimah Ibrahim, 51, berkata, dia terkejut apabila laluan masuk dan keluar kampung dilimpahi air pagi ini dan memaklumkan ia kali pertama berlaku.
“Kebiasaannya laluan itu memang kerap dinaiki air sekiranya berlaku hujan lebat dan musim tengkujuh. Saya dapat keluar menggunakan sampan untuk mengundi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kawasan Kampung Serian yang terjejas akibat banjir kilat itu melibatkan seramai 564 orang pengundi berdaftar.
Bagaimanapun menurutnya, keadaan banjir sudah kembali pulih dan penduduk di kawasan tersebut sudah boleh keluar mengundi. – KOSMO! ONLINE