PETALING JAYA – Tan Sri Annuar Musa mendakwa lebih 2,000 pengundi putih Perikatan Nasional (PN) tidak keluar mengundi gara-gara terdapat dakwaan pihak lain menerima ganjaran wang.
Annuar dalam hantaran di Facebook berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi mungkin memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), bagaimanapun persaingan dijangka sengit.
“Lebih 2,000 pengundi putih PN tidak keluar gara-gara tempias berita pihak lain mendapat duit. Kadar keluar mengundi yang tinggi mungkin memberi kelebihan kpd BN.
“Apapun data dua jam terakhir (pukul 4 hingga 6 petang) belum diperolehi bilik operasi PN. Persaingan mungkin sengit,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.
Setakat pukul 7 malam ini, calon BN, Mohd. Azmawi Fikri memperoleh 1,882 undi manakala PN yang diwakili Mohd. Rizwadi sebanyak 290 undi. – KOSMO! ONLINE