fbpx

PRK DUN Nenggiri: 71.87 peratus penduduk keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengundi Orang Asli yang keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Meranto, Gua Musang hari ini. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Sebanyak 71.87 peratus daripada 20,259 pemilih berdaftar sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan berkata, peratusan itu direkodkan setakat pukul 4 petang tadi.

Menurutnya, ia merupakan jumlah terakhir yang dilaporkan oleh pihak SPR hari ini.

PRK DUN Nenggiri dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Kekosongan kerusi itu dilakukan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi daripada Bersatu pada 13 Jun lalu.

Sebelum ini, Mohd. Azizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang daripada gabungan Perikatan Nasional mengumumkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November tahun lalu.

Beliau berkata, sokongan itu bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen Gua Musang akan terbela dan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Mohd. Azizi menang majoriti 810 undi dengan menewaskan calon BN yang juga penyandang kerusi DUN Nenggiri, Ab. Aziz Yussof pada Pilihan Raya Negeri tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI