GUA MUSANG – Peratusan pengundi yang keluar membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri melebihi sasaran yang ditetapkan sehingga pukul 2 petang tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 63.58 peratus pengundi yang berdaftar sudah mengundi, hari ini.
Jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding pada pukul 1 tengah hari tadi dengan catatan berjumlah 58.79 peratus.
Kosmo! Online semalam melaporkan, SPR menjangkakan kira-kira 60 peratus daripada 20,259 orang pemilih yang berdaftar akan keluar mengundi pada PRK DUN Nenggiri, hari ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, setakat ini, persiapan untuk menghadapi proses pengundian di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berjalan lancar.
“Mengikut perancangan proses pengundian bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang. Bagaimanapun, ada beberapa PDM di pos orang asli akan ditutup awal iaitu pada pukul 2 dan 3 petang,” katanya. – KOSMO! ONLINE