SHAH ALAM – Polis sedang menyiasat sama ada kematian penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar mempunyai kaitan dengan unsur jenayah, masalah peribadi atau mental.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, beliau semalam meninjau lokasi arwah yang dilaporkan kali terakhir berada iaitu di sekitar Jambatan Kota, Klang.
“Tinjauan itu menjurus kepada beberapa perkara yang perlu disiasat melibatkan sebarang unsur jenayah, masalah peribadi dan mental. Kita juga akan siasat sama ada arwah ada alami masalah atau gangguan atau pernah dapatkan sebarang rawatan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, polis telah merekodkan keterangan lapan individu termasuk ahli keluarga dan kenalan mangsa setakat ini dan ia sebahagian daripada proses membabitkan aspek siasatan.
Tambah beliau, pihaknya setakat ini mengesan satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar bangunan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Berdasarkan semakan itu, ada memaparkan arwah sedang berjalan berseorangan menuju ke arah jambatan. Namun, rakaman hanya setakat itu dan tidak nampak sehingga ke lokasi terakhir arwah berada. Jadi, ia tidak melihatkan apa yang berlaku,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan tiada dokumen atau barang kepunyaan penyanyi, Nidza Afham, 23, yang hilang seperti didakwa malah ahli keluarganya tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu. – KOSMO! ONLINE