BUCHAREST, Romania – Atlet gimnastik Romania, Ana Barbosu akhirnya dikalungkan pingat gangsa, sekali gus menamatkan kontroversi yang melibatkan keputusan juri di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum ini, gimnas Amerika Syarikat (AS), Jordan Chiles diumumkan sebagai pemenang pingat gangsa, tetapi kemenangan tersebut terpaksa diberikan semula kepada Barbosu selepas keputusan dibuat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) minggu lepas.
CAS membatalkan rayuan jurulatih pasukan AS, Cecile Landi, selepas mendapati rayuan tersebut telah dibuat terlalu lewat menyebabkan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa memberikan pingat tersebut kepada Barbosu.
“Saya tidak menjangka pingat ini begitu berat, tetapi saya sanggup memakainya siang dan malam jika itu yang perlu dilakukan untuk memilikinya.
“Saya sangat gembira untuk memiliki pingat ini dan berharap dapat mewakili Romania di peringkat tertinggi serta membawa pulang lebih banyak pingat selepas ini,” kata Barbosu.
Romania yang pernah menjadi kuasa besar dalam sukan gimnastik, telah gagal mempamerkan aksi cemerlang dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Kemenangan Barbosu membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris memberikan sedikit kegembiraan kerana dia merupakan wanita pertama dari Romania yang meraih pingat dalam sukan gimnastik sejak Olimpik London 2012. – AGENSI