Oleh NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui masih gagal untuk meraih sokongan orang Melayu terutama dalam memberi penjelasan tentang kerjasama dengan DAP dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, meskipun pentadbiran Kerajaan Perpaduan sudah menghampiri dua tahun, namun dalam hal ini, UMNO perlu bijak menangani sentimen yang dibangkitkan rakyat agar dapat meraih semula kepercayaan orang Melayu.
“Tentang sokongan orang Melayu, saya akui ia masih berada di tahap rendah. Itu sebabnya saya merujuk kepada soal isu dan sentimen. Pada hemat saya, ia belum ditangani dengan baik oleh bukan hanya kepimpinan UMNO tetapi juga kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Dulu tokoh yang memainkan peranan menghasut pun.. bila ada dalam kerajaan, hasutan itu tidak menggigit. Sekarang, sudah sampai masa untuk menggunakan pendekatan baharu melalui komunikasi tanpa lisan seperti medium dalam talian,” katanya ketika wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga menyedari sentimen positif terhadap prestasi semasa Kerajaan Perpaduan masih belum kuat sekali guas ia memerlukan usaha yang berganda untuk memberi penjelasan serta menjawab segala kebimbangan dibangkitkan rakyat.
Katanya, landskap politik kini sudah berubah dan tidak boleh terus bergantung kepada kaedah lama dan pendekatan baharu wajib dilakukan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
“Perkembangan landskap politik yang baru belum cukup menggugat. Penambahbaikan mesti dibuat kerana peluang banyak di sana. Namun kita juga harus berusaha bekerja di luar kotak atau tanpa kotak dalam proses membuat keputusan.
“Namun, keputusan penting lazimnya selain dibawa ke Kabinet dan difahami ahli Jemaah Menteri, mestilah difahami kepimpinan parti bukan saja peringkat nasional tapi bawahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE