fbpx

Gaji naik ramai nak jadi orang ‘gomen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Jailani ketika melawat Simulasi sesi Temu duga, sempena Hari Terbuka SPA@Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC). Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Pengumuman kenaikan gaji penjawat awam semalam dijangka mampu menyuntik semangat golongan belia dan lepasan universiti untuk menyertai perkhidmatan awam.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri itu akan membuka mata golongan tersebut tentang kadar serta peningkatan gaji sektor awam.

“Saya tak berani nyatakan kerana kita tiada data lagi. Tetapi saya jangka apabila Perdana Menteri mengumumkan gaji baharu ini, saya percaya ia akan beri semangat kepada kumpulan belia dan lepasan universiti mohon perkhidmatan awam

“Kerana mereka telah mulai tahu berapa kadar gaji dan ada nampak peningkatan kadar gaji. Malah, apa yang lagi penting adalah elemen sekuriti dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika ditanya pemberita tentang minat golongan muda menyertai sektor awam.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke Hari Terbuka SPA@Perak, di sini hari ini yang dianjurakan untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman tentang kaedah permohonan ke dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam 15 hingga 42 peratus kepada kumpulan pelaksana serta tujuh peratus untuk pengurusan tertinggi.

Ahmad Jailani yakin akan berlaku pertambahan dalam permohonan ke dalam perkhidmatan awam, namun tidak dapat memberi anggaran dari segi angka.

“Saya percaya mulai tahun depan kita akan tengok data permohonan ke SPA. Suku pertama (tahun 2025) depan mungkin kita boleh bagi gambaran yang lebih tepat tentang sambutan sebagaimana yang mana diperkatakan tadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika mendapatkan sebarang maklumat tentang perkhidmatan awam termasuk bagi permohonan kerja.

Katanya, orang ramai diminta melayari laman sesawang SPA untuk mendapatkan maklumat yang sahih atau mengunjungi pejabat SPA selain menghubungi terus menerusi saluran rasmi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI