BANGKOK – Seorang pemandu teksi mencederakan seorang penumpang kerana memintanya berhenti seketika dalam kejadian di Bangkok, lapor portal berita MSNews semalam.
Pada Sabtu minggu lalu, tiga penumpang termasuk dua warga Thailand dan seorang rakyat Singapura menaiki teksi berkenaan untuk pulang ke rumah selepas menghadiri satu majlis hari jadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi (waktu tempatan) di daerah Huai Khwang di Bangkok.
Semasa di dalam teksi, seorang penumpang berkenaan, Wanpen Khamsa-nga berasa loya dan meminta pemandu itu berhenti.
Dia kemudian meminta pemandu untuk berhenti lagi tetapi kali ini, pemandu teksi itu menyerahkan beg plastik kepadanya.
Bagi mengelak daripada mengotorkan kenderaan, Wanpen membuka tingkap dan muntah ke dalam beg plastik yang diberikan.
Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan, pemandu teksi itu menuntut bayaran tambahan 500 baht (RM63.59) kerana mendakwa dia telah membazirkan masa berhenti untuk penumpang muntah.
Wanpen dan rakannya, Itsaraporn dan seorang penumpang lain enggan membayar caj tambahan tersebut.
Mereka berunding untuk membayar hanya 200 baht (RM25.43) dan memutuskan untuk menghubungi teksi baharu.
Selepas mereka keluar daripada kenderaan, pemandu teksi mengekori dan mencederakan Wanpen dengan menggunakan sebilah pisau.
Pemandu teksi itu, Prapas Boonlang, 50, akhirnya menyerahkan diri kepada polis. – AGENSI