fbpx

MSN kesal dakwaan pelayar elit negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RASHID (kanan) bersedia berbincang dengan Khairulnizam (tengah) sekiranya berhasrat bergelar atlet profesional. - MSN MALAYSIA

MAJLIS Sukan Negara (MSN) terkilan dengan dakwaan pelayar negara, Khairulnizam Mohd. Afendy selepas menyuarakan kekecewaannya apabila mendakwa mendapat layanan kurang memuaskan ketika membuat persiapan di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir Ahad lalu.

Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dilontarkan kerana MSN telah membantu atlet berusia 31 tahun itu sejak awal penglibatannya hingga mampu beraksi buat kali keempat di pentas Olimpik

“Kita sudah banyak membantu sejak dia muda lagi. Malah persiapan di peringkat awal dan sebarang kejohanan dia sertai kebanyakan saya boleh kata 80-90 peratus memang dibiayai oleh MSN.

“Kalau nak difikirkan ini adalah Olimpik dia yang keempat dan mungkin 16 atau 20 tahun dia sudah bersama kita (MSN). Tapi kenapa ia ditimbulkan di peringkat seperti ini.

“Saya rasa tidak sepatutnya dan tidak adil untuk MSN kerana sepanjang 20 tahun kami membantu dan bersama mengembangkan kariernya. Benda ini berlaku di akhir karier sebagai seorang atlet. Saya rasa tidak berapa elok begitu,” katanya.

Rashid yang ditemui ketika melancarkan program One Nation One Team bersempena Hari Kemerdekaan Negara ke-67 menegaskan pihaknya sama sekali tidak menghalang sekiranya pelayar negara itu memilih untuk menamatkan kontrak dan bergelar atlet profesional.

“Sebarang dakwaan mestilah hadir dengan fakta yang betul kerana MSN mempunyai semua maklumat. Kita tidak mahu mengemukakannya kerana menghormati atlet dan kerjaya mereka serta tidak mahu perkara ini jadi lebih besar.

“MSN bersedia dengan tangan terbuka untuk berbincang sekiranya dia ingin meluahkan ketidakpuasan hatinya,” jelasnya.

Khairulnizam baru-baru ini menyuarakan pandangannya mengenai cabaran dihadapi untuk mendapatkan dana sebagai persiapan di pentas antarabangsa selepas mendakwa berlaku layanan tidak sama rata ketika Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia mendedahkan tiada sebarang perubahan dari segi sokongan keseluruhan yang diberikan oleh pihak terlibat.

Pada 5 Ogos lalu, atlet kelahiran Kedah itu menamatkan penampilan keempatnya di pentas Olimpik Paris dengan tangan kosong selepas menduduki tempat ke-32.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI