PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kedaulatan dan maruah negara akan tergadai jika amalan rasuah serta salah guna kuasa berleluasa.
Seri Paduka Baginda mengingatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa kerjaya ketenteraan menuntut amanah, kejujuran, pengorbanan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi demi mempertahankan kedaulatan negara.
Titah Seri Paduka Baginda, jangan sekali-kali ada pegawai tentera yang terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan urusan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan.
“Selaku Pemerintah Tertinggi ATM, saya tidak akan memberi muka kepada mereka yang gagal melaksanakan amanah sebagai seorang pegawai tentera.
“Saya juga pernah menjalani pelbagai latihan ketenteraan. Oleh itu, jangan nak temberang,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut bertitah mengingatkan kerajaan untuk sentiasa menitikberatkan amanah dalam semua urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.
“Peralatan yang ingin dibeli mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan serta keperluan pertahanan negara, bukannya mengikut telunjuk pembekal atau agen yang menawarkan komisen.
“Saya sendiri yang akan menilai semua perolehan,” titah Seri Paduka Baginda. – KOSMO! ONLINE