SPIELBERG, Austria – Pelumba sensasi Sepanyol, Marc Marquez tidak sabar untuk mengubah nasibnya pada perlumbaan Grand Prix (GP) Austria selepas tiga kali hampir menjelmakan kemenangan di Litar Red Bull Ring.
Sewaktu bersama Repsol Honda, Marquez berputih mata untuk melakar kemenangan di Austria apabila hanya sekadar menamatkan saingan tempat kedua pada 2017, 2018 dan 2019.
Bagaimanapun, juara Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) enam kali itu meletakkan keyakinan cukup tinggi dengan peluangnya bersama Gresini Racing musim ini terutama kekuatan jentera Ducati yang akan membantunya mencipta kejutan di Austria hujung minggu ini.
Pada musim ini, Marquez mencuri tumpuan apabila berjaya meletakkan namanya di atas podium empat kali apabila menamatkan perlumbaan tempat kedua pada GP Sepanyol, Perancis dan Jerman, manakala tempat ketiga di Catalunya.
“Saya kehilangan tiga kemenangan berturut-turut pada pusingan terakhir di Red Bull Ring. Austria adalah litar kegemaran saya dan selesa bersaing di sini. Kini saya menunggang motosikal terbaik di Red Bull Ring iaitu Ducati,” katanya.
Pun begitu, Marquez mengakui cabaran hujung minggu ini pasti sukar menentang dua lagi pelumba Ducati seperti Francesco Bagnaia, Enea Bastianini dan juga cabaran Jorge Martin dari Pramac Racing.
“Ketiga-tiga pelumba ini menunggang motosikal yang sama. Mereka sebenarnya lebih cepat daripada saya, jadi saya perlu berusaha dan terus belajar untuk tampil lebih baik,” katanya. – AGENSI