fbpx

Malaysia diiktiraf negara kuasa ekonomi tengah jika sertai BRICS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAFIZI (kiri) menjawab soalan daripada orang ramai pada program Ask Minister Anything di Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 yang diadakan di UTM, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Malaysia bakal diiktiraf sebagai negara kuasa ekonomi tengah sekiranya hasrat menyertai organisasi antara kerajaan iaitu BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) diterima.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hal itu kerana BRICS adalah perkumpulan negara antarabangsa yang mempunyai kepentingan ekonomi bersama di peringkat global.

Sehubungan itu, beliau berharap hasrat tersebut dilihat semata-mata atas aspek ekonomi, bukan berdasarkan politik.

“Saya percaya jika Malaysia diterima masuk BRICS, ia tidak akan menjejaskan hubungan antarabangsa kita dengan negara lain. Ini kerana Malaysia dikenali sebagai negara yang mengamalkan prinsip neutral ketika berurusan dengan isu-isu global.

“Apabila diterima, insha-Allah itu satu pengiktirafan dan keyakinan mereka terhadap Malaysia bahawa kita juga negara dengan kuasa ekonomi tengah di dunia. Ini akan meningkatkan keupayaan ekonomi kita.

“Jangan keliru, kita mahu sertai bukan disebabkan politik sebaliknya kerana mahu menjalin hubungan baik dengan semua negara termasuk negara-negara kuasa ekonomi tengah antaranya Rusia, Brazil, India, China dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ask Minister Anything Bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang diadakan di Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Tambah beliau, tidak banyak negara seperti Malaysia di peringkat global, kita mempunyai hubungan baik bukan sahaja dengan negara blok barat, blok timur tetapi juga blok negara Islam.

“Kerjasama antara Malaysia dengan negara-negara antarabangsa termasuklah negara ahli di dalam BRICS juga bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ia telah terjalin lama.

“Sebagai contoh, kita mempunyai jalinan kerjasama yang lama dengan Brazil khususnya dalam sektor gas dan minyak. Salah satu operasi luar terbesar Petronas adalah di Brazil, ada stesen minyak Petronas di sana,” jelasnya.

Rafizi menegaskan, keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS juga bukan bertujuan menolak penggunaan nilai matawang dolar Amerika Syarikat sebaliknya bertujuan untuk mengurangkan risiko ketidakstabilan matawang Ringgit Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, kita boleh berdagang menggunakan matawang Ringgit Malaysia dengan negara-negara terlibat sekali gus mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu mata wang sahaja. Ini tindakan yang neutral,” jelasnya lanjut.

Pada 18 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberitahu Malaysia telah menyampaikan hasrat menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu telah diangkat kepada Kementerian Luar bagi menjalankan kajian sejak dua bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI