PETALING JAYA – Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Miroslav Kuljanac mengakui moral anak-anak buahnya ketika ini tidak begitu baik selepas menyaksikan pasukan tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi Liga Super semalam.
Sebagai rekod, The City Boys dihukum tolak enam mata oleh First Instance Body (FIB) susulan deklarasi tunggakan yang tidak tepat atau tidak benar ketika proses pelesenan kelab.
Namun, Kuljanac enggan menjadikan isu pemotongan enam mata itu sebagai alasan pasukannya tewas kepada PDRM.
Sebaliknya, pengendali dari Croatia itu menganggap kesilapan yang tidak sepatutnya dan kegagalan menyudahkan peluang antara faktor pasukanterpaksa akur dengan kekalahan kedua berturut-turut.
“Saya tidak boleh jadikan (pemotongan) enam mata sebagai alasan, ia sudah jadi sejarah dan sudah berlalu. Saya dengar kelab juga sudah mengemukakan rayuan, jadi tiada lagi alasan mengenai (pemotongan) enam mata,” katanya. – KOSMO! ONLINE