JAKARTA – Mayat seorang nenek yang dimuntahkan kembali oleh seekor ular sawa setelah menelan separuh badan mangsa ditemui oleh seorang cucunya di wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Maga, 74, membawa lembunya untuk meragut di kawasan hutan di pergunungan Sumarambu, kira-kira 1.6 kilometer dari rumahnya di Bandar Palopo pada Rabu lalu.
Namun, dia tidak pulang ke rumah sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan keluarganya.
Cucu lelaki nenek itu, Sanaria, 39, pergi ke hutan kelmarin dan menemui percikan darah di atas tanah berhampiran sebuah pondok yang menjadi tempat persinggahan mangsa.
Tidak jauh dari situ, tubuh mangsa yang tidak bernyawa ditemui di atas rumput.
Tubuh Maga dilaporkan mempunyai kesan gigitan di kepala dan buku lali, manakala separuh badannya dimuntahkan keluar oleh ular sawa tersebut.
Timbalan Ketua Polis Telluwanua, Yusran Sa’buran berkata: “Selepas penduduk berkumpul di lokasi bersama polis dan kakitangan kerajaan tempatan, mayat mangsa kemudian diperiksa dan disahkan dibunuh oleh ular.
“Mangsa ditelan sehingga ke paras bahu tetapi kemudian ular tersebut memuntahkannya semula.
“Penduduk dan keluarga nenek itu mencari di sekitar tempat kejadian dan menemui seekor ular sawa sepanjang lebih 4 meter di kawasan berhampiran.”
Penduduk kampung membunuh ular itu dan membawa bangkainya ke rumah Maga untuk ditanam. – AGENSI