SUNGAI PETANI – Polis mengingatkan orang ramai supaya bersikap jujur semasa membuat laporan berhubung kes kehilangan individu dengan memberikan maklumat bagi membolehkan siasatan dilakukan secara terperinci.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata pengadu perlu telus menyalurkan maklumat terhadap aduan yang dikemukakan bagi memudahkan polis mengendalikan kes-kes kehilangan yang dilaporkan.
“Jujurlah kerana ada yang datang buat laporan hilang tetapi sebaliknya sebab bergaduh, tak puas hati. Kita bukan ‘ruang’ mencari jodoh.
“Kalau orang hilang berlaku kerana ikut teman lelaki,berterus-terang dan beritahu kalau berlaku perselisihan faham tapi ada yang ceritakan seolah-olah kena culik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Town Hall Discussion Kontinjen Kedah 2024 di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes orang hilang yang sering dilaporkan di media massa akhir-akhir ini.
Fisol berkata polis memandang serius terhadap semua laporan berhubung kehilangan individu dan tidak mahu kes kehilangan itu berakhir dengan kematian.
“Kebarangkalian untuk orang hilang tidak ditemui juga tinggi, kita nak orang ramai bersikap adil dengan polis dan polis akan berusaha sehabis baik membuat pencarian.
“Katakan dua kes yang diadukan tak betul, datang kes ketiga, betul polis juga kena kerana dianggap sambil lewa. Sebab itu kita kena jujur dan tanggungjawab. Kami ada amanah dan tanggungjawab begitu juga masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE