PETALING JAYA – Pelakon Mimi Lana meluahkan rasa terkilan apabila wujud segelintir pihak yang rimas dengan lambakan laporan berita berkaitan kisah cinta dengan Syafiq Kyle sehingga sanggup melemparkan kata-kata negatif terhadapnya.
Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 28, berkata, rasa kecewa tersebut membuatkan dirinya terfikir bahawa individu yang memandang negatif tentang perjalanan hubungan cintanya dengan Syafiq seakan-akan mempertikai aturan Allah SWT.
“Saya ada terbaca (komen) segelintir individu yang rimas dengan berita tentang hubungan saya kerana sekejap jadi, kemudian tidak.
“Ada yang sampai keluarkan kata-kata dan doa tidak baik terhadap saya. Urusan jodoh, ajal dan maut ini bukanlah dalam tangan saya.
“Terdetik dalam hati saya, mereka yang mempersoalkan urusan hubungan saya seolah-olah mempersoalkan kerja Tuhan,” katanya dalam Instagram.
Tambah bintang filem Pusaka itu, sebagai manusia biasa, dia tidak terlepas daripada dilanda dugaan hidup termasuk hubungan cinta.
Katanya, dia juga tidak pernah berniat untuk berkongsi perihal kisah cinta kepada orang ramai namun akur dengan statusnya sebagai selebriti yang sering diasak dengan pertanyaan daripada pengamal media.
“Kami manusia biasa, sama seperti semua orang diuji dengan pelbagai dugaan. Biarlah ujian ini kami simpan sebaik-baiknya dan tidak dicanang kerana yakin kami berdua sudah berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik dari hari semalam.
“Kalau tidak ditanya, kami sendiri tak mahu bercakap soal hubungan cinta kepada orang ramai.
“Kami tidak dapat menepis setiap kali keluar dan ditanya oleh rakan-rakan media namun saya menghormati mereka. Mungkin urusan jodoh mereka dipermudahkan oleh Allah,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia turut memohon maaf sekiranya pelbagai cerita tentang hubungan cintanya mengganggu kehidupan seharian mana-mana pihak.
Meski dihujani dengan kata-kata negatif, Mimi tetap berharap semua pihak dapat menitipkan doa agar segala urusan berkaitan hidup khususnya jodoh dipermudahkan Tuhan.
“Maafkan kami jika berita tentang kehidupan peribadi menggangu urusan harian kalian semua.
“Saya memanjatkan rasa syukur kepada yang mendoakan berkenaan jodoh saya. Semoga segala doa yang baik berbalik kepada anda semua yang mendoakan.
“Saya tetap mendoakan yang terbaik dan berharap Allah tutup mata kalian daripada membaca berita tentang kami yang membuatkan hari anda tidak senang.
“Alhamdulillah, saya doakan mereka terus kecapi rasa bahagia itu. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan terus membimbing saya menjadi manusia yang lebih baik,” tuturnya.
Baru-baru ini, Syafiq mengakui menanti masa sesuai untuk meneruskan hubungan dengan Mimi.
Kata Syafiq atau nama lengkapnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, dalam nada bergurau, dia menunggu pengesahan daripada Mimi tentang perkara itu.
Sebelum ini Syafiq dan Mimi pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada 18 Ogos 2023 namun majlis perkahwinan itu dibatalkan.
Tidak memperincikan punca pembatalan perkahwinan itu, Syafiq dan Mimi bagaimanapun mengaku tetap berkawan baik dan boleh bekerjasama dalam satu naskhah. – KOSMO! ONLINE