KUALA LUMPUR – Pilihan Selangor menepati ramalam apabila menjuarai Piala Sultan Selangor 2024 selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 pada aksi di Stadium Merdeka, sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, skuad Gergasi Merah membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain sensasi, Faisal Halim diletakkan dalam kesebelasan utama dengan memakai lilitan kapten.
Ketika awal perlawanan, Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey berjaya hampir meledak jaringan tetapi beberapa percubaan dari pemain itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Pilihan Singapura.
Bersambung pada separuh masa kedua, Nidzam Jamil melakukan lapan pertukaran dan pasukan terus menguasai permainan tetapi deretan peluang yang terhidang gagal menerjah jaring.
Jaringan yang di cari akhirnya menjelma pada minit ke-82 menerusi seorang lagi pemain gantian, Ronnie Fernandez yang berjaya melepasi perangkap ofsaid dan mudah menewaskan Syazwan.
Namun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Pilihan Singapura berjaya menyamakan kedudukan menerusi ledakan Faris Ramli berselang lima minit kemudian.
Alvin Fortes muncul wira Merah Kuning dengan meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk memastikan trofi berprestij itu kekal di bumi Selangor.
Sebagai rekod, pasukan Pilihan Selangor sebelum ini bergelar juara Piala Sultan Selangor pada edisi 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.
Sementara itu, Pasukan veteran Selangor berjaya menewaskan veteran Singapura 2-1 kategori veteran pada perlawanan pertunjukan yang diadakan lebih awal petang tadi. – KOSMO! ONLINE