PETALING JAYA – Rata-rata penjawat awam yang ditemui di seluruh negara semalam melahirkan rasa gembira dan bersyukur selepas pengumuman pelarasan gaji kakitangan awam daripada kumpulan pelaksana di Putrajaya semalam.
Tinjauan Kosmo! mendapati, golongan ‘tulang belakang’ perkhidmatan awam ini mampu menarik nafas lega untuk menjalani kehidupan lebih selesa selain berazam memberikan khidmat lebih baik pada masa akan datang.
Di Kuala Terengganu, penjawat awam gred 29, Siti Jamilah Hanim Jamil, 40, bersyukur bakal menerima pelarasan gaji 15 peratus secara berperingkat mulai Disember depan.
Ibu lima anak itu berkata, kenaikan gaji pokok bulanan kira-kira RM500 itu amat bermakna buat dia sekeluarga dalam mendepani kos sara hidup tinggi ketika ini.
“Saya tiada apa-apa perancangan untuk menggunakan lebihan pendapatan ini cuma kenaikan gaji tersebut membolehkan kami anak-beranak hidup dengan lebih selesa.
“Tidak mahu terlalu boros berbelanja kerana anak-anak sedang membesar, sebahagian besar kenaikan gaji ini akan digunakan untuk perancangan pendidikan mereka,” katanya.
Di Sungai Petani, Kedah seorang penjawat awam, Nor Farhani Che Ad, 35, berkata, khabar baik mengenai kenaikan gaji yang diumumkan Perdana Menteri itu sememangnya memberi kelegaan buat penjawat awam.
Beliau yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir gred N29 sejak empat tahun lalu berkata, kenaikan sebanyak 15 peratus tersebut merupakan inisiatif terbaik yang dilakukan kerajaan untuk membantu penjawat awam dalam menghadapi cabaran ekonomi masa ini.
“Alhamdullilah, kalau ikut pengiraan kasar saya, akan ada peningkatan gaji sebanyak kira-kira RM160 pada kenaikan fasa pertama, Disember ini.
“Peningkatan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan bulanan saya nanti,” katanya.
Di Pasir Puteh, Kelantan pembantu tadbir di sebuah sekolah di sini, Ahmad Termizi Yaakub, 25, berkata, pelarasan itu membolehkan dia menerima gaji melebihi RM2,300 sebulan iaitu kenaikan sebanyak RM150.
“Ia adalah satu kejutan yang memberi semangat untuk meningkatkan kualiti kerja yang seharusnya setimpal dengan gaji yang diperoleh.
“Saya terkejut mendengar pengumuman Perdana Menteri berkait pelarasan gaji baharu dan bersyukur apabila kerajaan bertindak tepat dengan situasi kos sara hidup yang tinggi.
“Saya akan menambah tabungan menerusi potongan gaji sebagai persediaan untuk menunaikan ibadah haji pada masa akan datang selain sebahagian disimpan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.
Di Lipis, Pahang bagi pemandu gred H11, Mohd. Khirul Nizam Hamzah, 45, berkata, dia berasa bersyukur mendengar pengumuman kadar gaji berkenaan kerana dapat memberi keselesaan dan kelegaan kepadanya yang telah berkeluarga.
“Saya ada dua orang anak yang bersekolah, jadi menerusi kenaikan sebanyak 15 peratus ini mampu menampung kos sara hidup yang makin meningkat.
“Penjawat awam juga sudah lama tidak merasai kenaikan gaji dan saya percaya ia mampu meningkatkan prestasi dan kualiti kerja setimpal dengan kenaikan gaji baharu kelak,” katanya.
Menurutnya, kenaikan itu menyaksikan gajinya yang pada masa ini sebanyak RM2,200 akan menjadi RM2,530.
Di Kuala Kangsar, Perak, Razmin Mat Sabri, 42, mahu mengambil sikap berhati-hati dalam soal perbelanjaan meskipun gembira dengan pengumuman kenaikan gaji itu.
Pembantu Perawatan Kesihatan U11 di Hospital Kuala Kangsar, Perak itu berkata, kenaikan gaji perlu diraikan dengan sederhana dan bukan dibazirkan dengan membuat pinjaman mengatasi peratus yang ditetapkan.
“Namun begitu saya mengingatkan dengan kenaikan ini jangan ada kakitangan yang melakukan pinjaman yang melebihi peratus yang ditetapkan kerana boleh membebankan kehidupan,” katanya.
Razmin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Perdana Menteri atas pengumuman tersebut.
Di George Town, Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Taib berkata, beliau yang berkhidmat selama 30 tahun semestinya berasa bangga dengan pengumuman Perdana Menteri memandangkan setelah sekian lama menantikan khabar baik itu.
“Ini merupakan satu sejarah bagi perkhidmatan awam kerana sudah lama kita tiada kenaikan atau tambahan gaji selain daripada kenaikan tahunan. Alhamdulillah, kita dapat ‘durian runtuh’ daripada kerajaan dengan kenaikan gaji baharu nanti.
“Namun, apa yang kita harapkan adalah daripada peniaga-peniaga. Janganlah ambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati yang akan menyebabkan ramai penjawat awam terbeban,” katanya.
Berhubung perancangannya, Zakaria memberitahu, kenaikan gaji baharu tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi itu akan dijadikannya sebagai simpanan untuk masa depan.
Di Shah Alam, Ketua Penolong Pengarah (Dasar Penguatkuasaan dan Keselamatan) Agensi Antidadah Kebangsaan, Dr. Nazira Sadiron berkata, pelarasan gaji baharu termasuk kepada kumpulan pengurusan tertinggi adalah tambahan ‘tonik’ dalam memberikan prestasi lebih baik sebagai penjawat awam.
“Ini merupakan kenaikan pelarasan gaji kali kedua dirasai sepanjang 19 tahun berkhidmat dengan kerajaan. Secara keseluruhannya, saya bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan. Saya sudah masuk tahun ke-19 (sebagai penjawat awam) dan ini kali kedua ada kenaikan gaji selain gaji tahunan.
“Bukan hanya kumpulan Gred 50 dan ke atas tetapi paling utama saya lihat kenaikannya juga kepada gred bawah seterusnya dapat membantu penjawat awam mengharungi hidup pada zaman mencabar ini.
“Saya juga ada nasihat kepada pegawai di bawah seliaan saya agar gunakan pendapatan baru akan diterima itu dengan sebaiknya dan tidak boros,” ujarnya.