KETUA jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengesahkan Faisal Halim mungkin diberikan minit permainan yang lebih tinggi ketika mewakili Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura pada aksi Piala Sultan Selangor hari ini.
Sebagai rekod, Faisal telah menjalani latihan bersama Selangor sejak penghujung bulan lalu selepas pulih daripada kecederaan ekoran menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali.
Selepas mendapatkan kecergasan yang diharapkan, Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey itu diberikan peluang bermain pada dua aksi Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Sabah FC baru-baru ini.
Kini, Nidzam menjelaskan peluang untuk Faisal mendapatkan minit permainan lebih tinggi mungkin diberikan pada perlawanan khas Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur kali ini.
“Situasi Faisal menyaksikan kita bermain dengan waktu. Sebelum dia diturunkan sebelum ini kita memang dah pastikan dia cergas untuk bermain di atas padang.
“Mungkin pada dua perlawanan lepas kita beri dia masa 10 hingga 15 minit untuk mendapatkan minit permainan sekali gus menyesuaikan diri dengan aksi kompetitif.
“Barisan kejurulatihan tidak boleh ambil risiko terlalu tinggi kerana kita juga patut berikan sedikit masa. Cuma, saya jangka mungkin Piala Sultan Selangor nanti dia akan dapat hampir 30 minit aksi di atas padang,” katanya.
Skuad Gergasi Merah kini mencari momentum terbaik sebelum mengharungi perlawanan getir final Piala FA menentang seteru tradisi, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Ogos ini.