MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag memuji debut sempurna yang dipamerkan oleh Joshua Zirkzee selepas meledak gol kemenangan untuk membantu pasukan menewaskan Fulham 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Pada perlawanan di Stadium Old Trafford itu, Zirkzee yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada 30 minit terakhir berjaya menyudahkan hantaran Alejandro Garnacho untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat tuan ruman.
Menurut Ten Hag, penyerang antarabangsa Belanda berusia 23 tahun itu telah membalas kepercayaan yang diberikan selain berharap momentum lebih cemerlang dapat ditampilkan pada aksi akan datang.
“Saya rasa teruja untuk menyaksikan penyerang baharu dapat menjaringkan gol pada perlawanan kompetitif pertamanya bersama pasukan. Sudah pasti gol tersebut dapat menaikkan lagi keyakinan Zirkzee pada permulaan musim ini.
“Meskipun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, anda boleh lihat kualiti yang cuba ditunjukkan oleh Zirkzee yang cukup serasi dengan rakan sepasukan yang lain. Saya jangka dia akan semakin menyerlah selepas ini,” katanya. – AGENSI