LIVERPOOL – Pengendali Everton, Sean Dyche nekad untuk memastikan Goodison Park dapat menjadi gelanggang ‘keramat’ buat pasukan sepanjang musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ia dirobohkan tahun depan.
Sebagai rekod, skuad The Toffees bakal menggunakan Goodison Park sebagai gelanggang ‘home’ buat kali terakhir musim ini selepas membina Stadium Everton serba moden sejak 2021 yang hanya dibuka secara rasmi tahun depan.
Kata Dyche, tekanan pada saingan musim ini cukup hebat kerana pasukan perlu berikan prestasi terbaik untuk menggembirakan penyokong setia sekali gus meraih pengalaman indah di Goodison Park.
“Secara jujur, saya masih baharu di sini dan tidak tahu betapa besar maknanya Goodison Park kepada penyokong. Namun, saya melihat ramai dalam kalangan mereka sudah mencipta banyak memori indah dan saya mahu teruskan pada musim terakhir di sini.
“Selepas ini, pasukan akan berhijrah ke gelanggang baharu yang serba canggih tetapi saya pasti ia tidak akan sama seperti Goodison Park. Cuma, keputusan itu perlu dibuat jika kelab ini mahu berdaya saing pada masa akan datang,” katanya. – AGENSI