PETALING JAYA – Insiden melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh dengan kegiatan penyahlahgunaan wang sumbangan orang ramai membuatkan Khairul Aming lebih berhati-hati sebelum mengadakan sebarang kutipan derma terutama melibatkan dana bantuan Palestin.
Baginya tanpa mengira apa jua pekerjaan pelaku itu, sesiapa sahaja boleh terjebak dengan dengan jenayah penipuan.
“Tidak peduli siapa pun mereka, sama ada pempengaruh, selebiriti, pegawai atau cikgu, sesiapa juga boleh menjadi scammer.
“Apa-apa pun saya sentiasa berhati-hati. Apabila saya hendak mempromosikan NGO, saya akan membuat kajian secara terperinci.
“Saya akan membaca laporan audit, melihat pandangan orang ramai dan bertanyakan pendapat rakan-rakan dalam industri juga. Apabila sudah mendapat kepastian, baru saya bersedia untuk melakukannya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, turut menasihati orang ramai agar melakukan pemeriksaan dengan teliti sebelum menghulurkan sumbangan.
“Sebelum menderma, tolong periksa betul-betul sumber kesahihan itu. Sekarang ini banyak perkara kita boleh periksa secara dalam talian.
“Kita perlu tahu semua maklumat itu sebelum menderma bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.
“Secara peribadi saya sendiri takut membuat kutipan derma sewenang-wenangnya kerana bimbang jadi masalah nanti,” katanya.
Sebagai rekod, Khairul Aming sebelum ini pernah menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada tabung Cinta Gaza Malaysia (CGM) bagi membantu rakyat Palestin.
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan Aman Palestin bernilai lebih RM15 juta selepas didakwa menyahlahgunakan wang sumbangan orang ramai.
Pada Julai lalu, pasangan suami isteri pempengaruh Alif Teega dan Aisyah Hijanah bersama dua individu lagi ditahan reman kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam. – KOSMO! ONLINE