PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah melaksanakan kajian semula yang komprehensif ke atas peraturan 147, Peraturan Penerbangan Awam 2016 bagi pesawat berpendaftaran asing yang digunakan untuk operasi penerbangan am.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazam Mahmud berkata, langkah itu selaras dengan cadangan keselamatan yang disediakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
Katanya, kajian semula itu bertujuan untuk memperkasakan CAAM dalam meningkatkan keupayaan pemantauan berkaitan pesawat berpendaftaran asing yang beroperasi di Malaysia, serta memastikan semua aktiviti penerbangan di negara ini mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
“CAAM dijangka menerbitkan cadangan peraturan baharu ini menjelang penghujung 2024, mencerminkan dedikasi CAAM terhadap penambahbaikan berterusan terhadap amalan keselamatan penerbangan.
“Susulan kemalangan Elmina pada 17 0gos 2023, CAAM telah meningkatkan pengawasan bagi pemeriksaan ramp terutamanya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor di mana terdapat banyak aktiviti penerbangan am,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Selain itu Norazam berkata, langkah itu menunjukkan komitmen berterusan CAAM untuk memastikan keselamatan dan pematuhan peraturan dalam semua operasi penerbangan.
“CAAM teguh dalam memastikan standard keselamatan dan kecekapan diletakkan pada tahap tertinggi dalam sektor penerbangan Malaysia.
“Kami turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan atas sokongan dan kerjasama berterusan semasa pelaksanaan usaha penambahbaikan yang penting ini,” jelasnya.
Terdahulu, BSKU menyarankan CAAM untuk menyemak rangka kerja kawal selia bagi pengawasan operasi selamat pesawat asing di Malaysia, yang perlu merangkumi penilaian keperluan pelesenan, piawaian latihan dan protokol operasi bagi memastikan pematuhannya seiring piawaian keselamatan antarabangsa serta mengurangkan risiko berkaitannya. – KOSMO! ONLINE