fbpx

BN perlu menang PRK Nenggiri, walau beza satu undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO, di WTC Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) berharap calon yang mewakili parti tersebut mampu membawa kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, hari ini meskipun dengan perbezaan satu undi.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau optimis serta yakin dengan pengundi yang ada dan percaya kemenangan akan berpihak kepada BN, namun dengan majoriti tipis.

“Buat lah macam mana pun asalkan menang walaupun satu undi, saya rasa BN menang tetapi majoriti tipis,” katanya dalam wawancara khas sempena Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, jika kemenangan di PRK Nenggiri berpihak kepada partinya, ia sekali gus menambahkan dua jumlah kerusi DUN di Kelantan yang dimilik BN iaitu DUN Galas dan DUN Kota Lama.

“Untuk Kelantan, sekuat mana pun kerajaan negeri itu, kita masih mempunyai wakil dan di Nenggiri ini. Insya-Allah satu lagi kerusi, supaya UMNO ini tidak menjadi ‘batu nisan’ di Kelantan.

“Satu kerusi yang kita akan sumbangkan ini akan menjadi tonggak penting untuk kita meraih semula sokongan,” katanya.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Nenggiri pada hari ini dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Ia berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lalu, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Sebanyak 20 pusat mengundi membabitkan 46 saluran dibuka serentak mulai pukul 8 pagi hingga 6 petang, dengan enam darinya akan ditutup lebih awal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI