PORT DICKSON – Sebanyak 4,324 laman web jualan barangan tiruan, pengedaran karya cetak rompak dan penawaran jualan langsung berunsurkan skim piramid disekat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2018.
Sekatan berkenaan hasil kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) yang memantau pengiklanan perniagaan melibatkan transaksi dalam talian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pada masa yang sama, kerjasama turut diadakan bersama penyedia platform e-dagang dengan menurunkan 3,408 iklan membabitkan jualan barang kawalan melebihi harga diwartakan, barangan tiruan dan penggunaan perkataan ‘no palm oil’ ke atas produk tertentu.
“Dalam pada kita melihat pendekatan jangka masa panjang untuk memperkemaskan undang-undang sedia ada, kita tidak menunggu sebaliknya turut melakukan tindakan serta merta melalui dua pendekatan ini.
“Saya harap pengguna dapat buat aduan kepada KPDN terhadap apa juga transaksi yang melakukan kesalahan bertentangan dengan perundangan sedia ada,” katanya selepas menghadiri Karnival Jualan Rahmah Madani Negeri Sembilan 2024 di Batu 1, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE