MELAKA – Seramai 51 penuntut Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Tiang Dua di sini, mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati sajian di tujuh buah kafe di institusi itu, sejak Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kesemua kafe tersebut telah diarahkan ditutup serta-merta selama dua minggu bermula pukul 6.30 petang, semalam.
Katanya, pelajar yang terlibat mengadu mengalami gejala keracunan makanan sejak kelmarin dan berterusan sehingga semalam, menyebabkan penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM) hadir bagi membuat pemeriksaan ke atas pelajar.
“Pada Khamis beberapa pelajar mengadu mengalami sakit perut, muntah, cirit-birit serta demam dan pihak felow telah membawa pelajar ke Hospital Jasin.
“Keadaan ini berterusan sehingga semalam di mana beberapa kali penghantaran pelajar dilakukan ke Klinik Kesihatan Ayer Molek dan sehingga pukul 6.30 petang, bilangan pelajar terlibat adalah seramai 51 orang iaitu 36 perempuan dan 15 lelaki,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Difahamkan antara menu yang dijual di kafe terlibat adalah nasi campur, nasi ayam dan pelbagai jenis makanan barat.
Mengulas lanjut Rahmad memberitahu, hanya seorang daripada pelajar telah dimasukkan ke wad setelah di bawa oleh bapanya ke hospital terbabit bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut, manakala pelajar lain dibenarkan pulang semula ke asrama.
“Rumusan yang didapati adalah tiada punca spesifik yang dapat dikenal pasti dan semua pelajar terlibat mengatakan mereka makan pelbagai menu daripada kesemua kafe beroperasi.
“Oleh itu, pihak KKM terpaksa mengambil keputusan untuk menutup operasi kesemua kafe bagi tujuan pembersihan atau sanitasi bagi memutuskan rantaian keracunan,” katanya.
Katanya, pihak kolej akan membawa vendor luar untuk keperluan makan dan minum pelajar yang dianggarkan seramai 390 orang berada di asrama serta bagi melancarkan pelaksanaan program Advance Creative Entrepreneurship Challenge (ACE) yang berlangsung sehingga esok. – KOSMO! ONLINE