JAKARTA – Seorang warga emas wanita ditemui mati selepas diserang seekor ular sawa dalam kejadian di tengah Indonesia, kata polis dan pegawai tempatan hari ini, kematian ketiga seumpamanya di wilayah berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.
Mangsa berusia 74 tahun dan dikenali sebagai Maga. Dia menimbulkan kebimbangan keluarga apabila tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.
“Maga ditemui mati, dipercayai dibelit dan digigit ular,” kata jurucakap polis bandar Palopo dalam wilayah Sulawesi Selatan, Supriadi.
Katanya, ular berkenaan ialah seekor ular sawa berukuran panjang 4 meter.
Wanita itu ditemui dengan kesan gigitan di kepala dan kaki berhampiran rumah keluarganya selepas pergi bekerja di sebuah ladang, kata ketua daerah Padang Lambe di Palopo, Awaluddin.
Mangsa ditemui di Padang Lambe oleh anak perempuannya bersama ular itu, kata Awaluddin kepada AFP.
Penduduk tempatan memukul ular sawa itu hingga mati dan berkata, wanita itu telah ditelan sehingga ke paras bahu.
Kematian akibat serangan ular sawa dianggap jarang berlaku, tetapi beberapa orang di Indonesia telah dibunuh oleh spesies itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bulan lalu, seorang wanita ditemui mati di dalam perut ular selepas ia menelan keseluruhan mangsa di kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.
Pada Jun lepas, seorang wanita ditemui mati, juga di dalam perut ular sawa di daerah lain di Sulawesi Selatan.
Pada 2023, penduduk wilayah itu membunuh seekor ular sawa sepanjang 8 meter yang ditemui di sebuah kampung selepas menelan seorang petani.
Kejadian serupa juga dilaporkan berlaku di Pulau Sulawesi pada 2018 dan 2017.