fbpx

Tersepit kerana konsortium tarik diri, terpaksa cari sumber kewangan lain – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau `tersepit’ dan menghadapi masalah kewangan selepas sebuah konsortium dari China menarik diri daripada melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, beliau yang terpaksa mencari sumber kewangan lain kemudian diperkenalkan oleh rakannya kepada seorang taikun perniagaan yang merupakan kenalan rapat Lim Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri.

Menurut saksi pendakwaan ke-23, beliau selanjutnya mengadakan pertemuan dengan Datuk Ewe Swee Kheng (mendiang) pada 2013 yang mana taikun berkenaan berkata dia telah berbincang dengan Guan Eng berkenaan perkara itu.

Zarul Ahmad berkata, dalam pertemuan tersebut, Ewe Kheng memberi jaminan bahawa Guan Eng menjanjikan syarikatnya (Zenith Construction Sdn. Bhd.) diberikan hak milik tanah Lot 702 sebagai bayaran kerana melaksanakan kajian kebolehpercayaan (FS) projek berkenaan.

“Saya berharap Datuk Ewe dan YB Lim bantu saya kerana saya tersepit selepas Beijing Urban Contruction Group (BUCG) menarik diri daripada melaksanakan FS,” ujar beliau ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding mencabar kredibiliti saksi.

Zarul Ahmad turut mengesahkan antara November 2013 dan Disember 2015 syarikatnya telah menerima RM79.8 juta sebagai sebahagian daripada bayaran untuk kajian kebolehlaksanaan.

Ketika ditanya Wan Shaharuddin mengenai perjanjian awal antara syarikatnya dengan kerajaan negeri, Zarul Ahmad mengesahkan syarikat Zenith Construction sepatutnya layak menerima dua lot tanah iaitu Lot 702 dan Lot 713 selepas syarikatnya melengkapkan kajian kebolehlaksanaan tersebut.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. yang juga saksi utama pendakwaan sebelum itu diminta menjelaskan mengapa kenyataannya yang diberikannya ketika siasatan kes G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 26 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI