KUCHING – Jika ada acara pemenang emas paling cantik, jaguh taekwondo Perlis, Wong Zin adalah calon paling tepat untuk dipilih sebagai juara.
Walaupun hadir sebagai atlet terkecil dalam acara poomsae Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan hanya berketinggian 153 sentimeter, gadis berusia 18 tahun itu menjadi antara peserta yang paling mencuri perhatian.
Sepanjang pertandingan, turut kedengaran penyokong yang menggelarkan Zin sebagai ‘Barbie Doll’ dan setiap gerakan tangkasnya sentiasa mendapat sorakan khususnya dikalangan penyokong Perlis.
“Saya juga sukakan fesyen, solekan dan ambil gambar. Jadi sekarang apabila ada masa rehat, saya juga ada cuba melakukan solekan dan keluar bersama kakak,” katanya.
Selain turut menjadi peserta tunggal yang mencatatkan lebih lapan mata apabila merekodkan 8.24 mata dalam acara poomsae individu, Zin juga meraih 8.34 mata menerusi poomsae campuran bersama Yeap Zhi Bin.
Catatan itu membolehkan Zin merangkul dua emas sekaligus menambah koleksi kejuaraan selepas turut mengungguli acara poomsae berpasukan wanita pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, bulan lalu.
“Sebenarnya saya mula bermain taekwondo disebabkan ayah saya kerana semua keluarga saya aktif dalam sukan ini. Saya satu-satunya yang aktif dalam acara bukan tempur.
“Prestasi saya hari ini agak bagus tetapi masih ada yang perlu dibaiki. Tekanan juga membolehkan saya jadi lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE