fbpx

Ringgit mengukuh 3.1 peratus berbanding AS$ tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengukuhan nilai ringgit mencerminkan keyakinan pelabur luar terhadap potensi ekonomi negara semasa. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit telah menambah nilai sebanyak 3.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini, setakat 13 Ogos lalu.

Sementara pada asas kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit turut menambah nilai iaitu sebanyak 5.3 peratus.

Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, hal ini sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan yang semakin meningkat dalam kalangan peserta pasaran kewangan, berhubung pengurangan kadar dasar AS yang telah meredakan tekanan terhadap mata wang serantau termasuk ringgit.

Jelasnya, inisiatif terselaras antara kerajaan, BNM, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, serta libat urus dengan syarikat korporat, pengeksport dan pelabur terus memberikan sokongan terhadap ringgit.

“Semua usaha ini menyebabkan aliran lebih besar dan konsisten ke dalam pasaran pasaran pertukaran asing.

“Purata harian bagi jumlah urus niaga pertukaran asing (FX) telah meningkat kepada ASS18 bilion untuk tempoh 26 Februari hingga 13 Ogos 2024, berbanding AS$15 bilion pada 2 Januari hingga 23 Februari 2024.

Spread bida-tawar juga lebih kecil, menunjukkan kecairan dalam pasaran domestik FX yang bertambah baik,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku tahun kedua 2024 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan keperluan pembayaran bersama (co-payment) bagi produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) berkuat kuasa September ini, Abdul Rasheed berkata, ia menawarkan lebih banyak pilihan mengikut kemampuan pengguna.

“Dengan adanya produk MHIT yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama, pengguna dapat memilih produk pada kos lebih rendah berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka.

“Berdasarkan pemerhatian, tahap premium atau sumbangan untuk produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama adalah lebih rendah antara 19 dan 68 peratus, jadi pengguna menikmati harga lebih murah,” katanya.

Berkuat kuasa 1 September ini, BNM menetapkan bahawa semua penanggung insurans dan pengendali takaful dikehendaki menawarkan pilihan produk MHIT bercirikan pembayaran bersama.

Bagi tahun 2023, inflasi kos perubatan di Malaysia merekodkan peningkatan dua digit sebanyak 12.6 peratus, berbanding purata global 5.6 peratus dan purata Asia Pasifik, sebanyak 6.2 peratus. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI