KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti, Riena Diana dan Keith Foo mendedahkan hubungan cinta mereka masih baharu dan belum terfikir untuk ke arah perkahwinan.
Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berkata, setakat ini mereka masih belum mempunyai tarikh kahwin lagi kerana tidak mahu terburu-buru ke jenjang pelamin.
“Kami tak merancang lagi untuk berkahwin sebab baru sangat kenal dalam empat bulan. Sekarang memang dalam proses mengenali satu sama lain.
“Tarikh kahwin pun belum ada lagi, sebab itu saya takut nak cakap lebih-lebih. Kita tak tahu apa yang ada di hadapan.
“Setakat ini, keluarga kami berdua okey (berbeza agama) dan kami pula ambil masa dengan semuanya,” katanya kepada Kosmo! Online semasa makan-makan bersama pelakon Teater Andak Bertandak.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Kampung People itu senang bersama aktor berdarah campuran Cina dan India itu kerana boleh dijadikan rujukan dalam bidang lakonan tetapi adakalanya rasa sukar dari segi kesibukan jadual untuk berjumpa.
“Rasa macam mungkin kenal orang dalam industri lebih faham, dia pun berlakon dah lama dan banyak pengalaman. Senang kalau ada masalah tentang skrip atau lakonan, boleh rujuk dia.
“Kami pun selalu sibuk, berjumpa pun di set masing-masing sebab itu kami mahu kenal dahulu untuk cari rentak. Susah juga dengan orang industri sebab tiada masa,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Riena turut menepis dakwaan mengatakan hubungan bersama Keith hanyalah untuk mempromosikan drama bersiri Salju Rindu untuk siaran TV3.
“Sebenarnya, kami kenal di set drama dan kebetulan saya tidak pernah berlakon dengan Keith sebelum ini.
“Dari situlah saya pertama kali berjumpa dengannya. Hubungan kami bukan sebab nak promosikan drama semata-mata.
“Doakan yang terbaik, sudah semestinya dalam perhubungan semua orang mahukan pengakhiran yang baik,” jelasnya.
Jun lalu Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu untuk siaran TV3.
Mengakui mempunyai banyak persamaan, status duda anak satu juga bukan penghalang kerana baginya paling penting Keith bukan suami orang.
Keith pula pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – KOSMO! ONLINE