PETALING JAYA – Secara purata, penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji melebihi RM500 selepas berlaku pelarasan gaji baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan pemberian tersebut dibuat secara bertahap dan berfasa iaitu fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026.
“Contohnya, Pembantu Hidupan Liar Gred G11, pendapatan bulanan pada November 2024 adalah RM1,795 dan naik kepada RM2,115 pada Disember 2024 (Fasa 1), kemudian sekali lagi naik kepada RM2,327 pada Januari 2026 (Fasa 2)
“Bagi Jururawat Gred U29, pada November 2024, pendapatan bulanan RM2,457 naik kepada RM2,697 pada bulan seterusnya dan pada Januari 2026 pendapatan bulanan naik kepada RM2,994.74,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi. – KOSMO! ONLINE