KUALA LUMPUR – Impian peminat negara untuk menyaksikan stadium sepak takraw berdiri megah mungkin dapat dilihat tidak lama lagi kerana Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah melepasi fasa perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, sudah tiba masanya Malaysia memiliki Stadium Sepak Takraw sendiri yang pasti akan menjadi simbol utama kepada sukan warisan di negara ini.
Walau bagaimanapun, Sumali mengakui tiada lagi keputusan muktamad terutama untuk membangunkan stadium baharu di kawasan Lembah Klang atau mengambil alih stadium sedia ada.
“Takkan Malaysia yang negaranya terkenal dengan sukan sepak takraw tetapi satu stadium tidak ada. Jadi, bagi saya kita kena mempunyai sekurang-kurangnya satu stadium.
“Sama ada kita nak bina stadium baharu atau ambil yang sedia untuk dinaik taraf masih belum diputuskan. Itu perbincangan bersama dengan Hannah Yeoh dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi, kita akan lihat bagaimana nanti kerana perbincangan akan diteruskan dari semasa ke semasa. Bagi pendapat saya, stadium tersebut tak besar pun tak apa, janji mempunyai kapasiti penonton sekitar 4,000 hingga 5,000 penonton dalam satu-satu masa,” katanya selepas Majlis Pelancaran Liga Sepak Takraw 2024 (STL) hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai venue kejohanan Piala Asia 2025, Sumali menegaskan Axiata Arena dan Stadium Titiwangsa dalam pertimbangan pihak mereka.
“Memang menjadi kehendak ramai untuk dibuat di Axiata kerana besar, tetapi adakah sesuai?. Untuk dalam keadaan sekarang, mungkin final, separuh akhir, kita boleh penuhkan tapi di peringkat awal, nanti nampak kosong sangat.
“Kalau Stadium Titiwangsa, memang kita sudah biasa, sepak takraw ini sudah banyak kali diadakan di Titiwangsa. Jadi, kita akan lihat pilihan terbaik nanti dan saya akan lakukan per bincangan dengan lebih teliti untuk Piala Asia tahun depan,” tambah Sumali.
Pada Julai lalu, PSM bersetuju menerima tawaran Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2025 yang diperkenalkan buat julung kalinya. -KOSMO! ONLINE