GUA MUSANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 60 peratus daripada 20,259 orang pemilih yang berdaftar akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri esok.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, setakat ini, persiapan untuk menghadapi proses pengundian di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) berjalan lancar.
“Mengikut perancangan proses pengundian bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang esok.
“Bagaimanapun, ada beberapa PDM di Pos Orang Asli akan ditutup awal iaitu pada pukul 2 dan 3 petang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja penghantaran peti undi ke dua Pos Orang Asli di Pusat Sivik, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ikmalrudin memberitahu, SPR turut menyewa dua buah helikopter, 40 trak pikap untuk pergerakan petugas ke perkampungan Orang Asli.
Katanya, lebih 400 petugas SPR terbabit sepanjang proses PRK DUN Nenggiri.
“Semua pengundi diingatkan supaya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi agar peratusan mengundi bertambah.
“SPR mejangkakan keputusan PRK DUN Nenggiri akan diperoleh sebelum pukul 9 malam jika semua urusan berjalan lancar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE