fbpx

PRK DUN Nenggiri : 20,259 pengundi pilih YB baharu esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bendera parti politik yang memenuhi kawasan jalan di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang. -Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seramai 20,259 orang pengundi yang layak bakal menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri esok.

Hampir keseluruhan pengundi di kawasan yang mempunyai 85.73 peratus Orang Melayu dan Orang Asli sebanyak 13.51 peratus itu akan mengundi apabila tiada pengundian awal dijalankan pada 13 Ogos lalu.

Proses pengundian awal tidak dilakukan kerana hanya melibatkan seramai 14 anggota polis yang sepatutnya mengundi awal di Balai Polis Bertam, tetapi dibenarkan untuk mengundi secara pos.

Sebanyak 20 pusat mengundi dijadualkan dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak turut menjangkakan kira-kira 60 peratus daripada 20,259 orang pemilih yang berdaftar akan keluar mengundi pada PRK DUN Nenggiri.

Menurutnya, mengikut perancangan proses pengundian bermula pukul 8 pagi sehingga 6 petang esok.

Katanya, sehubungan itu, SPR mejangkakan keputusan PRK DUN Nenggiri akan diperoleh sebelum pukul 9 malam sekiranya semua urusan berjalan lancar.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

BN diwakili oleh Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Awie manakala lawannya daripada PN iaitu Mohd. Rizwadi Ismail atau Ustaz Wadi.

PRK DUN Nenggiri yang berada di bawah Parlimen Gua Musang itu diadakan selepas Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan pada 13 Jun lalu.

Kekosongan kerusi itu dilakukan selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Negeri Kelantan pada Ogos tahun lalu, Mohd. Azizi menang majoriti 810 undi dengan menewaskan calon BN yang juga penyandang kerusi DUN Nenggiri, Ab. Aziz Yussof. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI