fbpx

‘Calling center’ tipu orang Malaysia, Singapura diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZI (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas dalam serbuan di dua rumah yang dijadikan pusat panggilan penipuan pekerjaan tidak wujud di Taiping, kelmarin.

IPOH – Polis menumpaskan operasi pusat panggilan yang menjalankan kegiatan penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud selepas menyerbu dua buah rumah di Taiping, kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seramai 11 individu termasuk empat wanita tempatan berusia 21 hingga 26 tahun ditahan dalam serbuan pada pukul 1.30 tengah hari itu.

Katanya, sindiket yang menjalankan penipuan secara dalam talian itu dengan menyasarkan mangsa dari Malaysia dan Singapura.

“Sindiket dipercayai menjalankan aktiviti penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melalui media sosial sejak dua minggu lalu.

“Semua yang ditahan termasuk seorang wanita hamil berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas tujuh unit komputer riba, 35 unit telefon bimbit, 98 keping kad mesin juruwang automatik (ATM), barang kemas, kenderaan, wang RM1,600 dan seutas jam tangan dengan nilai keseluruhan RM500,000.

“Dengan tertangkapnya ahli sindiket ini, kita percaya telah berjaya menyelesaikan 130 kes penipuan pekerjaan tidak wujud di seluruh negara.

“Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini, manakala wanita hamil pula direman sehari,” katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI