PETALING JAYA – Baru beberapa jam pengumuman berkaitan pelarasan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun sudah ada yang merancang untuk membeli kereta baharu.
Menerusi tinjauan Kosmo! di ruangan komen poster artikel bertajuk “Rata-rata penjawat awam terima kenaikan lebih RM500” yang dimuat naik di Instagram Kosmo! Online pagi tadi, beberapa pengguna menyenaraikan perancangan mereka termasuklah ingin menukar kereta sedia ada serta mahu membawa keluarga pergi bercuti.
“Banyak juga dapat, bolehlah tahun depan ‘upgrade’ (naik taraf) kereta baharu. Anak dah tiga, kesian pula masih naik Viva (Perodua Viva) yang sempit. Ada rezeki lebih ini boleh cuba Alza baru (Perodua Alza 2024),” kata SM Syukri.
“Alhamdulillah, rezeki nak beli kereta baharu tahun depan,” kata Cieedot.
“Terima kasih PMX (Anwar) kerana memahami kesusahan penjawat awam. Ada rezeki lebih ni, boleh la nak bawa keluarga jalan-jalan. Kesian anak-anak sejak Covid-19, tak pernah pergi bercuti luar negeri,” luah Aisyah.
Terdahulu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala tujuh peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Katanya, pelaksanaan pemberian tersebut dibuat secara bertahap dan berfasa fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE