fbpx

Penjawat awam perlu tunjuk prestasi terbaik  – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan.

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa penjawat awam terus menunjukkan prestasi terbaik dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, perkara berkenaan selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyelarasan gaji melalui pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Katanya, selepas ini penjawat awam perlu menyediakan perkhidmatan atau produk yang setanding gaji baharu bakal diperolehi mereka itu.

“Perkara-perkara pembaharuan yang begitu cepat mampu kami beri kepada rakyat dalam bentuk sistem penyampaian perkhidmatan dengan lebih berkesan lagi.

“Cuepacs menyeru seluruh penjawat awam baiki segera dan percepatkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya selepas Majlis Amanat Perdana Perhimpunan Perkhidmatan Awam ke-19 yang disempurnakan oleh Anwar di sini hari ini.

Tambah Adnan, pengorbanan penjawat akhirnya membuahkan hasil dengan menerima ‘durian runtuh’ dari kerajaan.

Jelasnya, ini menjadi bukti kerajaan amat menghargai penjawat awam dengan tindakan pelaksanaan semakan semula gaji selepas tempoh 12 tahun.

“Kami telah berkorban lebih 12 tahun tanpa kenaikan gaji. Maka pada hari ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji di antara 7 peratus hingga 15 peratus,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional, manakala 7 peratus bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Anwar berkata, pelaksanaan pemberian tersebut dibuat secara bertahap dan berfasa iaitu fasa satu pada 1 Disember ini, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026.

“Pelaksanaan Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional untuk fasa satu adalah 8 peratus dan fasa dua pula 7 peratus.

“Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, fasa satu adalah 4 peratus, manakala fasa dua adalah 3 peratus,” ujarnya.
– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI