PUTRAJAYA- Kumpulan penjawat awam kini boleh menyemak kadar gaji baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perkhidmatan kalkulator gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Semakan gaji baharu yang akan dilaksanakan secara dua fasa iaitu pada Disember 2024 dan Januari 2026 boleh dibuat secara langsung menerusi portal SSPA.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kalkulator gaji yang disediakan di portal SSPA membolehkan penjawat awam mengetahui secara terperinci jumlah kenaikan diterima mereka.
“Bagaimanapun, menerusi kalklator gaji itu, penjawat awam hanya boleh mengetahui gaji pokok bersama kenaikan diterima mereka sahaja ekoran jumlahnya tidak termasuk elaun tetap diterima.
“Jadi, penjawat awam perlu menambah sendiri jumlah elaun tetap diterima mereka bagi mendapatkan gambaran angka pendapatan bulanan selepas pelaksanaan kenaikan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji sebanyak 15 peratus bagi kumpulan pelaksana serta pengurusan dan profesional yang dilaksanakan secara berperingkat iaitu pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2026.
Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, kenaikan diterima pula ialah sebanyak 7 peratus. – KOSMO! ONLINE