SYDNEY – Penari breakdance Australia, Rachael Gunn tidak menjangkakan penampilan sulungnya pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 telah membuka banyak pintu kebencian terhadap dirinya selepas tarian ‘peliknya’ tular dan dikecam hebat di media sosial.
Atlet yang menggunakan nama pentas Raygun itu berdepan tekanan yang cukup tinggi apabila dikecam hebat di media sosial apabila persembahan tariannya seperti ‘kangaroo dance’ pada Olimpik Paris tular di seluruh dunia.
Dia yang juga seorang pensyarah di Universiti Sydney, Australia gagal mendapat sebarang mata daripada barisan juri melalui ketiga-tiga persembahannya ketika berdepan penari dari Perancis, Syssy (Sya Dembele) dan Logistx Amerika (Logan Edra).
“Saya tidak menjangkakan ia juga akan membuka pintu kepada begitu banyak kebencian dan secara jujurnya telah memusnahkan (saya).
“Saya pergi ke sana (Olimpik Paris) untuk berseronok tetapi saya mengambil serius setiap persembahan yang dilakukan. Saya bekerja keras untuk mempersiapkan diri untuk ke Olimpik, malah saya telah berikan yang terbaik,” katanya.
Selepas berdepan kecaman melampau, Raygun mengambil keputusan ‘menghilangkan diri’ buat seketika kerana terlalu sedih untuk pulang ke negaranya sehingga timbul spekulasi bahawa dia akan kekal di Eropah bersama suaminya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Olimpik Australia telah mengecam petisyen dalam talian yang dibuat ke atas atlet berkenaan yang rata-ratanya mempersoalkan kelayakan Raygun hingga terpilih ke Olimpik Paris.
Petisyen yang dibuat di laman web Change.org itu mendapat puluhan ribu tanda tangan dengan majoritinya menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Raygun. – AGENSI