fbpx

PCG rekod untung RM809 juta suku kedua 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail.

PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak RM809 juta untuk suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK 2024).

Pada suku tersebut, pendapatan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding suku pertama kepada RM7.7 bilion, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dalam segmen Baja & Metanol dan sumbangan lebih tinggi daripada segmen Kimia Khusus.

Untuk separuh pertama TK 2024 secara kumulatif, pendapatan Kumpulan meningkat empat peratus tahun ke tahun kepada RM15.2 bilion berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen Kimia Khusus, di samping impak pertukaran mata wang asing yang positif.

Pendapatan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) meningkat enam peratus tahun ke tahun kepada RM2.3 bilion, manakala PAT meningkat 29 peratus kepada RM1.5 bilion.

PCG turut mengumumkan pembayaran dividen interim sebanyak RM800 juta, yang mewakili 55 peratus daripada Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan bagi separuh tahun pertama 2024.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail mengulas, landskap perniagaan kini menjadi semakin kompleks, dan industri kimia terkesan dengan ketidaktentuan berpanjangan di mana Kumpulan perlu mengharungi lebihan kapasiti dan permintaan rendah untuk tempoh yang lama.

Jelasnya, PCG kekal teguh melaksanakan inisiatif-inisiatif kecemerlangan perniagaan untuk mengekalkan kecekapan dan keuntungan, di samping memastikan strategi untuk mengekalkan kesinambungan masa hadapan yang merangkumi pelan penyahkarbonan kekal mengikut jadual yang dirancang.

“Untuk bahagian operasi menjelang separuh kedua tahun 2024 ini, kami mempunyai beberapa aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan loji yang dijadualkan, di mana tumpuan segera kami adalah untuk melaksanakan aktiviti ini dengan selamat.

“Selain itu, kami juga menantikan operasi komersial loji usaha sama kami, PCG PCC Oxyalkylates di Kertih, Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI