fbpx

PapLite Pro inovasi saringan kanser serviks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kaedah saringan inovatif PapLite Pro diperkenalkan oleh Taylor's University dikatakan mampu melakukan pengesanan kanser serviks dengan lebih selesa dan tepat berbanding kaedah konvensional.

DI Malaysia, kanser serviks atau kanser pangkal rahim antara masalah yang paling kerap dihadapi kebanyakan wanita.

Malah, ia merupakan kanser kedua tertinggi dalam kalangan wanita muda di Malaysia dan ramai yang berdepan masalah ini dikesan pada tahap tiga atau empat kanser serviks.

Kelewatan dalam pengesanan kanser ini memberi cabaran tambahan dalam usaha rawatan dan pemulihan kepada individu yang dijangkiti.

Oleh yang demikian, Taylor’s University melalui Makmal Impak Kesihatan Digital dan Kemajuan Perubatannya mencatat perkembangan penting dalam perjuangan negara melawan kanser serviks dengan pengenalan inovasi perintis PapLite Pro.

Inovasi itu bertujuan meningkatkan saringan serviks dengan menjadikannya kurang invasif dan lebih berkesan.

Ia menangani halangan seperti kebimbangan terhadap ketidakselesaan dan meningkatkan pengamatan ke atas endoserviks yang seterusnya meningkatkan ketepatan bagi persampelan sel serta memudahkan wanita dan pengamal perubatan.

Pada majlis pelancarannya, panel-panel pakar menekankan peranan penting pengesanan awal kanser serviks dalam menambah baik hasil rawatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Majlis itu turut mengutarakan impak kemajuan teknologi seperti PapLite Pro dan pentingnya strategi kerjasama yang melibatkan kerajaan, sektor swasta dan organisasi bukan kerajaan dalam memajukan hasil rawatan kesihatan.

saringan secara inovatif itu dikatakan lebih ergonomik dan memudahkan cara pengumpulan sel serviks yang mencukupi dari kawasan serviks yang betul.

Pengarah Makmal Impak Kesihatan Digital dan Kemajuan Perubatan yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Biosains, Fakulti Sains Kesihatan dan Perubatan Taylor’s University, Prof Dr. Chong Pei Pei berkata, inovasi Pap smear semua dalam satu itu menghilangkan bayang-bayang tangan ahli penjagaan kesihatan profesional untuk memberi pengamatan serviks yang lebih baik.

“Ia juga direka dengan ergonomik bagi memudahkan cara pengumpulan sel serviks yang mencukupi dari kawasan serviks yang betul, menghasilkan keputusan ujian diagnostik yang tepat berbanding peralatan Pap smear konvensional,” katanya.

Sewaktu majlis itu turut dilakukan simulasi ujian Pap di Taylor’s Virtual Online Future Technology & Extended Reality (VORTEX XR) Lab. Simulasi unik itu menunjukkan perbezaan antara ujian Pap konvensional dan PapLite Pro dengan mengutarakan ciri-ciri inovatif.

DR. KAVINASH (dua dari kiri) bergambar bersama Dr. Lok Boon (tengah) dan Dr. Pei Pei (dua dari kanan) semasa pelancaran inovasi PapLite Pro di Taylor’s University, Subang Jaya.

Dalam pada itu, jelas Koordinator Penyelidikan di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Kavinash Loganathan, di Malaysia, kanser serviks adalah kanser kedua paling banyak berlaku dalam kalangan wanita berusia antara 15 ke 44 tahun.

“Pada tahun 2020 sahaja, terdapat 1,740 kes baharu dilaporkan dengan kadar kematian 57 peratus.

“Bilangan yang membimbangkan ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh cabaran seperti stigma budaya, teknik saringan invasif, pilihan pesakit dan kurangnya kesedaran, yang kesemuanya melambatkan kemajuan pengambilan saringan kanser serviks,” jelasnya.

Tambahnya, PapLite Pro merupakan sesuatu yang berpotensi untuk mengubah saringan serviks bagi ahli penjagaan kesihatan profesional, menawarkan versi yang berteknologi maju untuk visualisasi yang dipertingkat dan ketepatan pensampelan sel.

Pro Naib Cancelor Pembelajaran dan Pengajaran Universiti Taylor’s Dr. Thian Lok Boon berkata, mereka telah memulakan perjalanan untuk menjadi universiti yang dipacu matlamat pendidikan, penyelidikan dan advokasi.

“Pelaksanaan pembelajaran yang diterajui matlamat di seluruh pusat pengajian kami menyaksikan pengenalan 11 Makmal Impak.

“Setiap Makmal Impak terdiri pasukan transdisipliner yang fokus pada penyelesaian, terdiri daripada golongan akademik, industri dan pelajar yang bekerjasama untuk merealisasikan idea-idea bermakna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI